Pengenalan kepada Undang-Undang Antarabangsa
Undang-Undang Antarabangsa merujuk kepada satu badan peraturan yang mengikat perhubungan sesebuah negara dengan negara yang lain. Anda pasti tertanya-tanya, penting ke? relevan ke? Cuba fikir… adakah anda biasa …
- makan beras, pisang, keropok atau coklat yang diimport dari negara luar?
- mendengar lagu, membaca buku atau melihat berita-berita dari luar negara?
- menggunakan internet untuk membaca artikel ini atau untuk mencari maklumat?
- membeli pencuci muka, ubat, vitamin dan barangan yang berasal dari luar negara?
- menghantar surat atau bungkusan ke luar negara ataupun melawat negara luar?
Apa yang anda lakukan diatas pastinya berkaitan dengan undang-undang antarabangsa. Oleh itu, sudah pasti ianya merupakan undang-undang yang amat penting. Ia bukan sahaja perlu diketahui oleh peguam, pembuat polisi, atau pelajar undang-undang sahaja. Seluruh masyarakat perlu mengambil berat atau setidak-tidaknya mengambil tahu sedikit sebanyak tentang undang-undang ini. Lihat SINI untuk lebih jelas bagaimana undang-undang antarabangsa memainkan peranan dalam hidup kita sehari-hari.
J. G. Starke dalam bukunya, Introduction to International Law (1989), menafsirkan undang-undang antarabangsa sebagai satu badan perundangan yang kebanyakannya terdiri daripada prinsip-prinsip dan peraturan perlakuan, di mana negara merasakan perlu untuk dituruti dan oleh itu, kebiasaannya mematuhinya dalam hubungan di antara mereka dan ianya juga termasuk a) peraturan perundagan berkaitan fungsi institusi dan organisasi antarabangsa, hubungan mereka dengan negara dan individu dan b) peraturan perundangan yang tertentu berkaitan individu-individu dan entiti bukan-negara yang menjadi perhatian komuniti antarabangsa.
Undang-undang antarabangsa bukan sahaja mengawal hubungan di antara negara dan negara yang lain tetapi juga di antara entiti lain seperti organisasi antarabangsa dan individu. Fungsi utama undang-undang ini adalah untuk mengekalkan harmoni atau mengelakkan, mengawal dan menguruskan konflik yang sering terjadi di serata dunia. Struktur undang-undang antarabangsa yang telah digubal telah sedikit sebanyak menjadi panduan dan rujukan negara bangsa dan organisasi antarabangsa untuk bekerjasama untuk menjadikan dunia lebih aman dan sentosa.