Sumber Undang-Undang Antarabangsa

SUMBER UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

“Sumber Undang-Undang Antarabangsa” merujuk kepada persoalan (a) dari manakah undang-undang itu boleh didapati dan (b) apakah undang-undang yang perlu digunapakai.  Ini amat penting apabila sesebuah tribunal antarabangsa perlu memutuskan berkenaan sesuatu persoalan mengenai undang-undang antarabangsa.  Contohnya, sekiranya berlaku kebakaran hutan yang tidak terkawal di Indonesia dan ini memberi kesan jerebu yang teruk kepada negara jiran seperti Malaysia dan Singapura hingga menyebabkan kadar pelancongan semakin terjejas dan semakin ramai rakyat tempatan mengalami masalah kesihatan.  Lihat berita SINI

Apabila konflik sebegini terjadi, akan wujud persoalan undang-undang apakah yang boleh dirujuk sebagai panduan atau dalam membantu mengawal atau mengatasi keadaan ini? Undang-undang manakah yang menetapkan peraturan untuk mengendalikan persoalan hak dan tanggungjawab negara dalam situasi ini?  Dari manakah undang-undang ini berasal?  Oleh itu, Sumber Undang-Undang Antarabangsa akan menentukan sumber di mana tribunal itu perlu merujuk dan apakah undang-undang antarabangsa yang perlu dipakai.

 

ARTIKEL 38(1) STATUT MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA

Sumber-sumber undang-undang antarabangsa telah jelas dinyatakan dalam Artikel 38(1) Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).  Artikel 38(1)  menyatakan bahawa mahkamah, yang berfungsi untuk memutuskan sebarang pertelingkahan antarabangsa berdasarkan undang-undang antarabangsa perlu merujuk kepada:

a) Perjanjian antarabangsa, samada am atau khas, yang wujud dan diakui oleh negara yang bertelingkah

b) Adat antarabangsa, sepertimana yang dibuktikan oleh amalan umum yang  diterima sebagai undang-undang

c) prinsip-prinsip umum undang-undang yang diiktiraf of bangsa-bangsa bertamadun

d) (tertakluk kepada Artikel 59), keputusan kehakiman dan pengajaran daripada tulisan penulis yang paling berkelayakan daripada pelbagai bangsa, sebagai cara sampingan untuk menentukan peraturan perundangan.

Sumber-sumber (a), (b) dan (c) yang disenaraikan dalam Artikel 38(1) diklasifikasikan sebagai sumber-sumber utama manakala sumber (d) hanyalah sumber tambahan atau subsidiari.  Walaupun Artikel 38(1) tidak menetapkan supaya sumber-sumber ini dirujuk mengikut senarai hiraki, secara amalannya, sekiranya wujud sesuatu persoalan berkenaan undang-undang antarabangsa, tribunal antarabangsa akan merujuk berdasarkan turutan (a) hingga (d) atas sebab sumber-sumber dari turutan awal bersifat mudah diperolehi, lebih jelas, terang dan menyeluruh.

Walaubagaimanapun, sumber-sumber yang dinyatakan dalam Artikel 38(1) ini tidak mencukupi dan sumber-sumber lain juga perlu diiktiraf sebagai sumber undang-undang antarabangsa. Namun sumber-sumber yang dinyatakan dalam Artikel 38(1) dianggap lebih berotoriti berbanding sumber-sumber undang-undang antarabangsa yang lain.

Berbalik kepada masalah jerebu tadi, anda boleh lihat bagaimana beberapa undang-undang yang berkaitan telah digunakan untuk mengatasi masalah tersebut di SINI.  Bolehkah anda pastikan perjanjian antarabangsa manakah yang terpakai? adakah adat antarabangsa, perinsip umum atau keputusan mahkamah yang terdahulu yang boleh digunakan untuk dijadikan panduan dan rujukan dalam isu ini?

Close Menu