Triti

Triti (treaty) merupakan satu elemen yang penting dalam perbincangan mengenai undang-undang antarabangsa. Triti juga adakalanya dipanggil sebagai Perjanjian, Konvensyen atau  Protokol.

Artikel 38(1) Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa menetapkan supaya Mahkamah mengaplikasikan “international conventions, whether general or particular, establishing rules experessly recognised by the contesting States” apabila mengadili sebarang kes yang dihadapkan kepadanya.    

Definisi Triti atau perjanjian ada dinyatakan di dalam Artikel 2(1a) Vienna Convention on the Law of Treaties, 1969 seperti berikut:

Treaty means an international agreement concluded between states in written form and governed by international law, whether embodied in a single instrument or in two or more related instruments and whatever its particular designation.

Menurut Artikel 2(1a) tersebut, Triti bermaksud perjanjian antarabangsa yang disimpulkan di antara negara-negara dalam bentuk tulisan dan ditadbir oleh undang-undang antarabangsa, samada ianya wujud dalam satu, dua atau lebih instrumen dalam apa sahaja bentuk yang tertentu.  Ini bermakna, perjanjian membolehkan negara-negara mencipta peraturan yang mengikat di kalangan mereka dalam mencapai sesuatu objektif. Sesuatu perjanjian boleh bersifat umum (wujud banyak pihak yang terlibat, ataupun apabila kandungannya bersifat umum) atau khas (apabila hanya pihak tertentu yang telibat atau kandungannya bersifat spesifik dan terhad).   Perjanjian juga boleh bersifat bilateral (antara dua negara) atau multilateral (antara banyak negara).  Melalui perjanjian bilateral kedua-dua negara akan menetapkan apakah hak-hak mereka serta apakah obligasi atau kewajipan yang perlu mereka penuhi.

Perjanjian antarabangsa merupakan sumber undang-undang antarabangsa yang paling utama.  Dalam menyelesaikan pertikaian, Mahkamah Keadilan Antarabangsa akan pertama sekali merujuk kepada Perjanjian antarabangsa yang berkaitan dengan isu pertikaian.

Terdapat pelbagai jenis triti atau perjanjian berkaitan dengan pelbagai isu seperti kesihatan, alam sekitar, pendidikan, status wanita, kebebasan informasi, telekomunikasi dan lain-lain telah dikumpulkan dan boleh diakses di laman web United Nation Treaty Collections. Laman web ini menyediakan pelbagai informasi berkenaan sesuatu triti, tarikh ia dibuat, negara yang menjadi ahli perjanjian, kandungan perjanjian dan sebagainya.

 

 

Close Menu