Prinsip Umum Undang-Undang Antarabangsa

Prinsip Umum undang-undang antarabangsa (general principles) merupakan sumber undang-undang antarabangsa yang ketiga disenaraikan dalam Artikel 38(1) Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Prinsip umum undang-undang antarabangsa ini kebiasaannya merujuk kepada prinsip undang-undang yang kuat bertapak di seluruh atau kebanyakan sistem perundangan nasional dan digunapakai dalam hubungan di antara negara. Sumber ini dimasukkan dalam Artikel 38(1) dengan tujuan untuk memenuhi sebarang lompang atau kekosongan dalam apa yang termaktub di dalam triti dan undang-undang adat antarabangsa. Ini sememangnya perlu untuk mengatasi masalah tiada undang-undang yang boleh diaplikasikan atau apabila wujud situasi yang kurang jelas dalam undang-undang.

Contoh prinsip-prinsip umum ini termasuk tanggungjawab untuk memberikan gantirugi apabila wujud salah laku negara, seperti yang digariskan dalam kes Chorzow Factory (1928).  Beberapa prinsip umum ini adalah berdasarkan keadilan semulajadi (natural justice) yang secara amnya terpakai kepada semua sistem perundangan.  Antara contoh lain prinsip umum undang-undang antarabangsa adalah:

  • prinsip niat baik (good faith);
  • estopel (estoppel); iaitu prinsip di mana seseorang individu boleh dihalang daripada menegaskan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang tersirat daripada perbuatan atau pernyataannya yang terdahulu.
  • keakuran (acquiescence);
  • prinsip berpadanan (proportionality).

Beberapa prinsip umum ini adalah berdasarkan logik perundangan atau interpretasi statut seperti:

  • prinsip lex posterior derogat legi priori (a later law repeals an earlier), iaitu undang-undang yang terkemudian akan memansuhkan undang-undang yang terdahulu;  
  • prinsip lex specialis derogat legi generali (more specific rule prevail over more general rule), iaitu apabila timbul keadaan di mana kedua-dua undang-undang umum dan spesifik boleh dipakai dalam satu situasi, undang-undang yang bersifat spesifik akan mengatasi undang-undang yang bersifat umum.
  • prinsip contra proferentem (against the offeror) iaitu doktrin di mana sekiranya sesuatu perjanjian atau terma didapati tidak jelas, maksud yang perlu diutamakan adalah maksud yang bertentangan dengan kepentingan pihak yang menulis perjanjian tersebut.

Prinsip umum sering didapati dalam isu-isu pembuktian, prosedur dan bidangkuasa.  Contoh lain termasuk:

  • nemo judex in causa sua (no one should be a judge in his own case), iaitu seseorang tidak boleh menghakimi sesuatu kes yang dia sendiri mempunyai kepentingan di dalamnya.
  • res judicata (a matter [already] judged), iaitu sesuatu hal yang telah dihakimi dan diputuskan di mahkamah tidak boleh diteruskan lagi oleh pihak yang sama.
  • ex injuria jus non oritur  (illegal acts cannot create law) iaitu perbuatan yang salah tidak boleh dijadikan undang-undang.

Malah beberapa prinsip undang-undang utama boleh didapati dalam keputusan mahkamah.

Walaubagaimanapun, Hakim McNair dalam kes South-West Africa ada mengingatkan bahawa sifat undang-undang antarabangsa adalah berbeza daripada undang-undang domestik, dan prinsip-prinsip undang-undang domestik boleh digunakan untuk memenuhi lompang dalam undang-undang antarabangsa hanya apabila ianya sesuai digunakan dalam situasi antarabangsa.

Close Menu