KEPUTUSAN PERUNDANGAN
Keputusan perundangan (judicial decision) yang dibuat di mahkamah serta pengajaran publisis yang berkelayakan adalah sumber undang-undang antarabangsa yang keempat dinyatakan dalam Artikel 38(1)(d) Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Statut ini menetapkan agar mahkamah mengaplikasikan keputusan mahkamah yang lepas serta mengambil pengajaran daripada publisis yang berkelayakan tinggi dari pelbagai bangsa (teaching of the highly qualified publicists), sebagai cara untuk menentukan peraturan perundangan. Namun sumber keempat ini hanya bersifat subsidiari atau sebagai tambahan sahaja dan bukannya dianggap sebagai satu sumber sebenar yang dianggap penting.
Walaubagaimanapun, Artikel 59 Statut tersebut menyatakan bahawa keputusan perundangan tidak mengikat kecuali di antara pihak-pihak yang terlibat dan dalam kes yang sedang dipertimbangkan itu sahaja. Ini bermakna, dalam undang-undang antarabangsa, tiada konsep stare decisis (to stand by things decided), di mana pihak mahkamah perlu mengikuti precedent atau keputusan mahkamah yang terdahulu seperti yang dikenali dalam sistem common law. Oleh itu, keputusan mahkamah di peringkat antarabangsa tidak bersifat membuat sesuatu undang-undang tetapi hanya bersifat deklarasi undang-undang yang sedia ada. Maknanya, keputusan mahkamah antarabangsa ini boleh untuk diikuti atau tidak dituruti jika mahu.
PENGAJARAN PUBLISIS YANG BERKELAYAKAN
Sejarah telah membuktikan wujudnya pengaruh penulis akademik dalam perkembangan undang-undang antarabangsa. Sebagai contoh, Gentili, Grotius, Pufendord, Bynkershoek dan Vattel merupakan otoriti undang-undang antarabangsa yang hebat di kurun ke-16 sehingga kurun ke-18. Penulis-penulis ini berpengaruh dalam menentukan skop, bentuk dan kandungan undang-undang antarabangsa.
Walaubagaimanapun, dengan adanya penegasan tentang kedaulatan negara, perjanjian dan adat antarabangsa, pengaruh penulis perundangan antarabangsa semakin berkurang. Maka, buku-buku teks subjek undang-undang antarabangsa hanya digunakan sebagai cara untuk menemukan undang-undang yang berkaitan berbanding menjadikan buku teks sebagai sumber undang-undang. Namun, masih ada penulis yang mempunyai pengaruh terhadap evolusi undang-undang antarabangsa yang bersifat spesifik. Contohnya penulis Gidel dalam aspek undang-undang laut, dan penulis buku undang-undang antarabangsa klasik iaitu Oppenheim dan Rousseau.
Kekurangan wujudnya otoriti yang mempunyai kuasa tertinggi dan institusi dalam peraturan perundangan antarabangsa menyebabkan peranan publisis dari pelbagai bangsa untuk menyuntik elemen yang lebih teratur, kemas, tersusun dalam undang-undang antarabangsa. Publisis juga berperanan untuk menyoal arah tuju dan kegunaan sesuatu peraturan yang wujud. Oleh itu, negara, ketika membuat tuntutan, pegawai awam yang memberikan pandangan kepada kerajaan, badan perundangan antarabangsa yang mempertimbangkan keputusan mereka, serta hakim dalam mahkamah domestik kesemuanya akan mempertimbangkan atau memetik tulisan pakar terkemuka berkenaan sesuatu undang-undang antarabangsa.