Negara merupakan subjek undang-undang antarabangsa yang utama. Apakah yang dimaksudkan dengan “negara” dalam konteks undang-undang antarabangsa? Pakar undang-undang antarabangsa, Oppeinheim menyatakan bahawa:
negara adalah satu kewujudan di mana manusia hidup tetap di dalam sesebuah wilayah di bawah kerajaan yang berdaulat.
Artikel 1 Montevideo Convention on Rights and Duties of States, 1933 menyatakan bahawa negara sebagai entiti dalam undang-undang antarabangsa perlu memiliki kelayakan seperti berikut:
- populasi tetap (permanent population)
- wilayah yang tertentu (territory)
- kerajaan (government); dan
- kapasiti untuk memasuki sesuatu hubungan dengan negara lain(capacity to enter into relations with other states)
Kriteria-kriteria yang digariskan di dalam Montevideo Convention ini biasanya diterima secara amnya sebagai kriteria sesebuah negara menurut adat antarabangsa.
1. Wilayah tertentu
Sesebuah negara perlu mempunyai wilayahnya yang tertentu. Penguasaan terhadap sesebuah wilayah merupakan dasar sesebuah negara. Ini menjadi asas kepada tanggapan penting tentang “kedaulatan wilayah”. Di sini, wujud kewibawaan ekslusif negara untuk melaksanakan otoriti kedaulatan dalam wilayah tersebut di mana pihak asing dilarang daripada menjalankan kekuasaan mereka tanpa izin.
Konsep wilayah biasnya ditentukan oleh kawasan geografi yang dipisahkan oleh garis sempadan dengan wilayah negara lain. Oleh itu, penyempadanan wilayah negara adalah amat penting. Walaubagaimanapun, kepastian mutlak sesuatu garis sempadan adalah tidak perlu. Banyak negara mempunyai pertelingkahan sempadan dengan negara jiran. Ia juga tidak penting sekiranya negara tersebut bersaiz terlalu besar atau terlalu kecil. Apa yang penting adalah negara secara konsisten mempunyai kekuasaan dalam pusat tertentu wilayah tersebut.
2. Populasi yang tetap
Kriteria populasi yang tetap adalah berkait dengan wilayah dan merupakan asas fizikal kewujudan sesebuah negara. Puak-puak yang berpindah randah tidak layak untuk menjadi negara. Perlu wujud populasi yang boleh dikaitkan dengan wilayah yang tertentu secara kekal dan boleh dianggap sebagai penduduk. Dalam kes Western Sahara, wilayah Western Sahara diduduki oleh puak nomad yang berpindah-randah di padang pasir. Mahkamah memutuskan bahawa mereka boleh dikatakan sebagai populasi Western Sahara disebabkan terdapat kaitan di antara mereka dengan wilayah tersebut. Saiz populasi juga tidak penting. Nauru sebagai contoh, hanya memiliki kurang dari 10,000 penduduk dalam wilayah yang kecil.
3. Kerajaan
Sesebuah negara perlu memiliki kerajaan (government). Kerajaan tersebut juga perlu efektif dalam wilayah yang tertentu dan melaksanakan kuasa mereka ke atas populasi yang kekal dalam wilayah tersebut. Kewujudan sebuah kerajaan sahaja tidak cukup, kerana kerajaan tersebut perlu mempunyai kuasa yang efektif (effective control). Dalam kes Aaland Island, persoalan utama adalah berkenaan tarikh bilakah Finland menjadi sebuah negara. Finland merupakan sebahagian daripada Empayar Rusia sehingga berlakunya Revolusi Rusia. Pihak Parlimen telah mengumumkan kemerdekaan Finland pada 4 Disember 1917. Ini telah diiktiraf oleh kerajaan Soviet teatapi wujud bantahan dari pihak yang membantah kemerdekaan Finland. Kekecohan timbul dan kerajaan negara baru tersebut hanya mampu mengawal keadaan dengan bantuan tentera Soviet. International Committee of Jurists memutuskan bahawa tarikh sebenar Finland menjadi negara adalah apabila pihak berkuasa benar-benar menunjukkan kewibawaannya ke atas wilayah tanpa bantuan tentera luar dan ini hanya berlaku pada May 1918.
Walaupun kriteria “kerajaan efektif” perlu dipenuhi sebelum sesebuah wilayah boleh menjadi negara, kriteria sebeginai tidak dilaksanakan ke atas negara yang telah sedia terbentuk. Negara tidak boleh dikatakan gagal wujud apabila ianya kehilangan kerajaan yang efektif disebabkan peperangan saudara atau masalah lain. Kekurangan dalam pemerintahan kerajaan Somalia, contohnya tidak memansuhkan personaliti perundangan antarabangsa yang dipunyainya. Begitu juga apabila pendudukan oleh kuasa-kuasa bersekutu ke atas Jerman dan Jepun selepas Perang Dunia Kedua tidak menggugurkan status kenegaraan mereka.
4. Kapasiti untuk membuat hubungan dengan negara lain
Kapasiti untuk membuat hubungan dengan negara lain (capacity to enter into relations with other states) menurut Konvensyen Montevideo merujuk kepada “kebebasan” dalam undang-undang daripada kekuasaan negara lain. Dalam kes Austro -German Customs Union, Austria dan Germany, melalui Protocol 1931 telah mencapai perjanjian awal berkenaan perjanjian bebas diantara kedua negara. Hakim Anzilotti memberi pandangan berkenaan makna ‘kebebasan’ dalam aspek undang-undang antarabangsa.
“Kebebasan… boleh dijelaskan sebagai kedaulatan atau kedaulatan dari pihak luar, iaitu negara tidak mempunyai sebarang otoriti yang lain selain undang-undang antarabangsa. … Sekatan terhadap kebebasan negara, samada timbul di luar daripada undang-undang antarabangsa yang biasa atau ikatan kontrak , tidak memberi kesan kepada kebebasan negara tersebut. Selagi mana sekatan-sekatan tersebut tidak meletakkan negara tersebut dibawah autoriti perundangan negara lain, negara yang terdahulu itu masih menjadi negara yang bebas walaupun kewajipan yang perlu diikut itu adalah luas dan berat.”