BIDANGKUASA
Terma “bidangkuasa” menerangkan tentang:
- limitasi perundangan sesebuah negara, otoriti atau institusi
- skop hak sesebuah tribunal antarabangsa untuk menghakimi sesuatu kes dan untuk membuat penghakiman untuk pihak-pihak yang terlibat.
*Bidangkuasa negara dan bidangkuasa tribunal adalah berbeza.
Sifat bidangkuasa
Bidangkuasa sangat berkait dengan aspek kedaulatan negara kerana ia melibatkan bidang kuasa preskriptif serta bidangkuasa pelaksanaan.
- Bidangkuasa preskriptif (prescriptive jurisdiction) adalah kuasa untuk menetapkan peraturan merujuk kepada kuasa pihak legislatif negara (legislative).
- Bidangkuasa pelaksanaan (enforcement jurisdiction) adalah kuasa untuk melaksanakan undang undang biasanya merujuk kepada kuasa eksekutif (executive) dan kehakiman negara (judiciary).
Bidangkuasa preskriptif ataupun dipanggil bidangkuasa legislatif adalah kuasa sesebuah negara untuk mengaplikasikan undang-undang negaranya ke atas seseorang, harta, wilayah atau peristiwa dimanapun ianya berlaku. Undang-undang antarabangsa tidak melarang sebarang negara untuk melanjutkan bidangkuasa legislatif negara mereka ke atas individu perseorangan, harta dan peristiwa yang berlaku di luar wilayah negara tersebut. Hak untuk menetapkan peraturan untuk perkara di luar kawasan yang dimiliki terhasil dari konsep kedaulatan negara yang mutlak. Contohnya peraturan negara agar setiap rakyatnya perlu menjaga nama baik negara di mana jua mereka berada.
Walaubagaimanapun, kesan praktikal bidangkuasa ini terhad kepada bidangkuasa pelaksanaan. Bidangkuasa pelaksanaan mencakupi perbuatan yang berbentuk pelaksanaan bidangkuasa preskriptif, samaada secara perilaku administratif (atau bidangkuasa eksekutif) seperti penangkapan atau rampasan harta atau secara perilaku kehakiman (atau bidangkuasa kehakiman) melalui mahkamah.
Hubungan di antara kedua jenis bidangkuasa ini adalah agak jelas. Bidangkuasa pelaksanaan tidak akan wujud kecuali dengan adanya bidangkuasa preskriptif. Walaubagaimanapun ada situasi di mana wujud bidangkuasa preskriptif tetapi tiada kemungkinan untuk bidangkuasa pelaksanaan wujud, contohnya apabila tertuduh berada di luar kawasan yang diperintah oleh negara dan perintah ekstradisi tidak boleh didapati.
Keadaan di atas berkait dengan konsep kedaulatan yang hanya bersifat kewilayahan, iaitu negara hanya boleh melaksanakan peraturan dan undang-undang mereka dalam wilayah mereka sahaja. Hakim Huber dalam kes Island of Palmas menyatakan bahawa kedaulatan adalah hak untuk melaksanakan, fungsi-fungsi negara hingga mengetepikan negara-negara lain. Walaupun sesebuah negara mungkin mempunyai kuasa umum di bawah undang-undang antarabangsa untuk menetapkan bidangkuasa pelaksanaan, bidangkuasa tersebut secara umumnya hanya akan boleh dijalankan di dalam wilayahnya sendiri.
Ini boleh dilihat dalam kes Lotus, di mana Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengakui bahawa “sesebuah negara tidak boleh menjalankan bidangkuasa pelaksanaannya di wilayah negara lain”. Oleh itu, pemakaian bidangkuasa pelaksanaan yang sebenar, seperti operasi polis, mahkamah negara dan lain-lain hanya terhad kepada wilayah negara yang mendakwa mempunyai bidangkuasa. Contohnya sekiranya seseorang melakukan pembunuhan di Malaysia dan lari ke Indonesia, mahkamah Malaysia mempunyai bidangkuasa untuk mendakwa. Walaubagaimanapun, polis Malaysia tidak boleh memasuki wilayah Indonesia dan menangkapnya di sana. Mereka perlu memohon kepada pihak berkuasa Indonesia untuk menangkapnya dan menyerahkannya untuk didakwa di Malaysia. Ini mengikut prinsip “kedaulatan wilayah” di mana sesebuah negara tidak boleh melaksanakan perlakuan kerajaan di wilayah negara lain tanpa persetujuan negara lain tersebut.
Undang-undang antarabangsa memainkan peranan penting dalam mentadbir tuntutan ke atas bidangkuasa. Ini berlaku apabila sesebuah negara masuk campur dalam hubungan domestik negara lain. Kepada sesuatu negara, ia mungkin melihat perlakuannya sebagai satu pelaksanaan kedaulatannya tetapi bagi negara yang lain, ini mungkin dilihat sebagai pelanggaran hak ke atas wilayah atau otoriti negara lain tersebut. Bidangkuasa sesuatu negara bergantung kepada undang-undang nasional dan undang-undang antarabangsa hanya meletakkan beberapa had kepada budi-bicara negara tersebut. Sekiranya mahkamah sesebuah negara telah menjalankan bidangkuasanya bertentangan dengan limitasi yang digariskan oleh undang-undang antarabangsa, negara yang terkesan dengan tindakan mahkamah tersebut boleh membuat tuntutan di peringkat antarabangsa.
Bidangkuasa jenayah dan sivil
Beberapa penulis seperti Akehurst berpendapat bahawa bidangkuasa jenayah berbeza dengan bidangkuasa sivil. Tidak semua prinsip umum bidangkuasa yang biasanya diaplikasikan dalam kes-kes jenayah boleh diaplikasikan dalam kes sivil contohnya pemakaian prinsip universal. Negara, dalam melaksanakan bidangkuasa sivil nya mengaplikasikan pelbagai prinsip-prinsip seperti kewujudan defenden, kewujudan aset defenden, dan kewarganegaraan, domisil atau tempat tinggal plaintiff, yang mana agak berbeza daripada apa yang diaplikasikan dalam kes-kes jenayah.
Perbincangan seterusnya hanya akan berkisar kepada bidangkuasa jenayah sesebuah negara.
BIDANGKUASA JENAYAH
Terdapat lima prinsip umum di mana bidangkuasa jenayah boleh dituntut oleh negara:
- Prinsip kewilayahan (Territorial principle)(menentukan bidangkuasa dengan merujuk kepada tempat di mana jenayah atau kesalahan itu dilakukan).
- Prinsip kewarganegaraan (Nationality principle) (menentukan bidangkuasa dengan merujuk kepada warganegara pelaku yang melakukan kesalahan tersebut).
- Prinsip Perlindungan (Protective principle) (menentukan bidangkuasa dengan merujuk kepada kepentingan nasional yang disakiti disebabkan oleh kesalahan tersebut)
- Prinsip Umum (Universality principle)- menentukan bidangkuasa dengan cara merujuk kepada penahanan pelaku yang melakukan kesalahan; dan
- Prinsip Personaliti Pasif (Passive personality principle) – menentukan bidangkuasa dengan cara merujuk kepada kewarganegaraan orang yang tercedera disebabkan kesalahan tersebut.
Prinsip-prinsip ini tidak bersifat ekslusif. Di antara kelima-lima prinsip-prinsip ini, ada prinsip yang lebih diterima umum berbanding yang lain. Malaysia menggunakan prinsip kewilayahan (territorial principle) sebagai prinsip utama dalam pelaksanaan bidangkuasa jenayah. Ianya disokong oleh prinsip kewarganegaraan, perlindungan, universal dan personaliti pasif.
1. Prinsip Kewilayahan
Prinsip kewilayahan (territorial principle) merujuk kepada keadaan di mana sesebuah negara melaksanakan bidangkuasanya ke atas orang, harta, perlakuan atau peristiwa yang berlaku di dalam wilayahnya sendiri. Pembentukan prinsip kewilayahan ini boleh didapati dalam kes Cristina apabila Lord Macmillan menyatakan bahawa sifat penting sesuatu kedaulatan adalah bahawa ia perlu mempunyai bidangkuasa ke atas semua orang dan benda dalam wilayahnya sendiri.
Prinsip kewilayahan ini telah diiktiraf secara universal. Ini kerana prinsip ini mempunyai beberapa kelebihan dari segi praktikal, termasuk kemudahan forum dan keterlibatan kepentingan negara di mana jenayah tersebut telah dilakukan. Tambahan lagi, saksi dan bukti adalah berkemungkinan besar berada dalam wilayah negara di mana jenayah tersebut berlaku. Dalam kes Lockerbie, Scotland menegaskan bidangkuasa mereka dalam kes dimana sebuah kapalterbang telah dibom dan jatuh di negara tersebut atas alasan praktikal di mana bukti-bukti fizikal berada dalam bidangkuasa Scotland.
Prinsip kewilayahan boleh digunakan apabila jenayah dilakukan “pada keseluruhannya” atau “pada sebahagiannya” dalam sesuatu wilayah. Sesuatu jenayah dilakukan “pada sebahagian” wilayah apabila kebanyakan elemen penting berlaku di wilayah tersebut. Ini boleh dilihat kepada aplikasi subjektif dan objektif prinsip kewilayahan.
a) prinsip kewilayahan subjektif
Negara mempunyai bidangkuasa ke atas kesalahan yang dilakukan secara fizikalnya di dalam wilayah sempadan negara tersebut. Contohnya Malaysia boleh mengaplikasikan undang-undang Malaysia ke atas kesalahan memalsukan wang USD yang berlaku di dalam sempadan Malaysia dan ini diiktiraf oleh prinsip kewilayahan subjektif.
b) prinsip kewilayahan objektif
Negara mempunyai bidangkuasa untuk menggunakan undang-undang negaranya apabila kesan jenayah berlaku dalam wilayah negara walaupun penjenayah melakukan perbuatan jenayah diluar sempadan negara tersebut. Contohnya jenayah cyber yang semakin berleluasa berlaku di negara luar tetapi kesannya membabitkan rakyat negara Malaysia yang ramai terpedaya dan kerugian berjuta ringgit. Dengan kata lain elemen penting sesuatu jenayah telah dimulakan di negara lain tetapi jenayah tersebut disempurnakan di Malaysia. Prinsip kewilayahan objektif ini sering diaplikasikan. Kes utama prinsip kewilayahan objektif adalah kes Lotus. Dalam kes Lotus, berlaku pelanggaran kapal di lautan dalam di Mediterranean di antara kapal kepunyaan Perancis bernama Lotus dan kapal Turki. Kapal Turki tenggelam menyebabkan kematian 8 anak kapal Turki. Apabila kapal Lotus sampai di pengkalan kepunyaan Turki, pegawai Perancis, Lieutenant Demons telah ditangkap. Perancis menyatakan bahawa kapal Turki boleh disamakan dengan wilayah Turki, dan memutuskan bahawa Turki berhak untuk melaksanakan bidangkuasa kerana elemen jenayah kematian tersebut telah berlaku dalam wilayah Turki (kapal Turki). Mahkamah dengan jelas telah menerima prinsip kewilayahan objektif dalam kes ini.
Prinsip kewilayahan objektif juga boleh diaplikasikan dalam kes konspirasi dan pelanggaran anti-amanah dan undang-undang imigresen oleh aktiviti di luar negara. Dalam kes DPP v Doot, responden merupakan rakyat asing yang didakwa melakukan konspirasi mengimport dadah ke UK. Perjanjian konspirasi tersebut telah dibuat di luar negara sebelum responden ditangkap di England ketika dadah tersebut sedang dibawa masuk. Mahkamah House of Lords memutuskan bahawa mahkamah-mahkamah England mempunyai bidangkuasa dalam kes ini kerana jenayah masih berlaku di England ketika langkah-langkah diambil untuk melaksanakan konspirasi tersebut.
2. Prinsip Kewarganegaraan
Prinsip kewarganegaraan (nationality principle) membolehkan negara melaksanakan bidangkuasa ke atas warganegara mereka yang melakukan jenayah dimana sahaja di serata dunia. Walaubagaimanapun, bidangkuasa ini tidak boleh dilaksanakan kecuali apabila rakyat balik semula ke negara asal mereka. Peraturan ini diterima secara universal dan negara-negara Eropah sering menggunakan prinsip ini.
Contohnya, undang-undang England memberikan bidangkuasa berasaskan prinsip kewarganegaraan tetapi hanya dalam jenayah berat seperti pembunuhan, penderhakaan yang melampau dan perkahwinan bigami. Mahkamah Amerika juga menerima prinsip kewarganegaraan sebagai asas untuk bidangkuasa. Beberapa negara menuntut bidangkuasa atas dasar wujudnya hubungan bersifat peribadi, selain daripada dasar kewarganegaraan, di antara pihak tertuduh dan negara yang menuntut bidangkuasa. Contohnya, Denmark, Iceland, Liberia, Norway dan Sweden menuntut bidangkuasa ke atas jenayah yang dilakukan di luar negara oleh penduduk tetap mereka. Dalam kes Joyce v DPP (1946), UK telah mengambilkira elemen penduduk/residen sebagai asas bidangkuasa. Negara-negara kadangkala menuntut bidangkuasa luar wilayah (extraterritorial) terhadap ahli ketenteraan mereka dan berkaitan jenayah yang dilakukan dalam tempoh pekerjaan pegawai-pegawai awam mereka.
3. Prinsip Perlindungan
Menurut prinsip perlindungan (protective principle), sesebuah negara boleh menghukum perlakuan yang memudaratkan atau menjejaskan keselamatan, integriti atau kepentingan nasional, tidak kira dimana perlakuan itu dilakukan atau oleh siapa ianya dilakukan. Sejak kurun ke 19, negara-negara Eropah mula menuntut bidangkuasa ke atas perlakuan yang dilakukan oleh orang asing di luar negara yang boleh mengancam negara mereka. Tuntutan sebegini menghadapi bantahan pada peringkat awal tetapi semakin diterima. United Kingdom dan US yang pada mulanya membantah prinsip ini juga kini telah menuntut bidangkuasa menggunakan alasan ini.
Dalam Joyce v DPP (1946) salah satu alasan wujudnya bidangkuasa adalah bahawa perlakuan defenden ketika dia berada di Germany, adalah membahayakan UK. Dalam kes ini, mahkamah memutuskan bahawa seorang asing yang meninggalkan Britain ketika memegang pasport British mempunyai tanggungjawab kesetiaan kepada UK dan oleh itu melakukan kesalahan pengkhianatan apabila dia menyiarkan propaganda untuk musuh (Germany) ketika peperangan berlaku.
Walaupun prinsip ini telah kukuh bertapak, wujud kontroversi tentang perlakuan-perlakuan yang dikira termasuk di dalam prinsip perlindungan ini. Harvard Research Draft Convention on Jurisdiction with Respect to Crime [SINI] menyatakan bahawa negara mempunyai bidangkuasa berkaitan jenayah yang dilakukan diluar wilayah oleh warga asing sekiranya ia bertentangan dengan keselamatan, integriti wilayah atau kemerdekaan politik sesebuah negara (Artikel 7 ). Negara juga mempunyai bidangkuasa berkaitan jenayah seperti pemalsuan atau pemelancungan (counterfeiting) salinan palsu cop materai, matawang, dokumen awam yang dikeluarkan oleh negara yang dilakukan diluar wilayah oleh warga asing (Artikel 8).
Keselamatan negara boleh merangkumi aspek ekonomi dan politik. Akibatnya, perlakuan yang memberikan ancaman kepada ekonomi negara boleh juga digolongkan dalam bidangkuasa negara. Kesalahan pemalsuan atau pemelancungan matawang adalah contoh terbaik berkaitan kesahan perlanjutan prinsip ini kepada perlakuan yang memberi kesan ekonomi. Pelaksanaan bidangkuasa ke atas kesalahan ini tidak boleh dibantah tetapi beberapa negara membuat tuntutan yang meluas kepada bidangkuasa. Tuntutan yang meluas sebegini tidak boleh diterima kerana ia mudah disalahgunakan.
Harvard Research mendapati bahawa kebanyakan negara telah menggunakan prinsip perlindungan ini. Prinsip perlindungan ini boleh dianggap sebagai kepala bidangkuasa dalam undang-undang adat antarabangsa. Contoh penerimaan umum prinsip perlindungan ini boleh dilihat dalam doktrin contiguous zone.
Beberapa negara telah menggubal undang-undang yang direka untuk memberikan diri mereka bidangkuasa ke atas perkara yang memberikan kesan (effect) keatas wilayah mereka. Ini dipanggil doktrin kesan (effects doctrine) dan ia melampaui prinsip perlindungan di mana apa yang dilindungi oleh undang-undang tidak terbatas kepada keselamatan negara atau kepentingan negara. Peningkatan kadar undang-undang domestik yang mempunyai kesan luar wilayah (extraterritorial) sudah pasti akan membawa kepada pertelingkahan dengan negara-negara dan memberi kesan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi apabila perlakuan di mana bidangkuasa itu dituntut adalah sah dalam undang-undang negara dimana ia berlaku tetapi tidak sah di negara lain yang menuntut bidangkuasa. Contohnya undang-undang anti-amanah US boleh menghukum syarikat UK yang berniaga secara sah di UK tetapi mempunyai operasi yang minimum di US. Disebabkan kesan jauh bidangkuasa inilah kebanyakan negara seperti UK percaya bahawa bidangkuasa luar wilayah yang ekstensif ini bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan sesetengahnya telah menggubal undang-undang yang menyekat “blocking legislation” untuk menghadapi ancaman sebegini. Sebagai contoh, Protection of Trading Interests Act, 1980 UK. Menurut Akta ini Setiausaha Negeri unuk Perdagangan dan Industri boleh menyekat syarikat UK untuk mematuhi keputusan US anti-amanah. Langkah yang sama telah diambil oleh negara-negara EU yang lain.
Apa yang lebih kontroversial adalah pengambilan Cuban Liberty and Democratic Solidarity Act 1996 (Helms-Burton Act) oleh US dan Iran-Libya Sanctions Act 1996. Statut-statut ini mengenakan penalti kepada individu-individu atau syarikat yang melabur di negara-negara yang diembargo atau terlarang, tanpa mengira kewarganegaraan atau tempat perniagaan pesalah. Ini lebih direka untuk kepentingan polisi asing US berbanding untuk melindungi US semata-mata dan ini menimbulkan bantahan dalam masyarakat antarabangsa. Banyak negara seperti Canada, Mexico dan EU yang mengambil langkah-langkah perundangan untuk menyekat kesan perundangan yang meluas ini. Banyak negara percaya bahawa bidangkuasa luar wilayah yang meluas sebegini adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
4. Prinsip Universal
Prinsip universal (universal principle) amat bergantung kepada konsep ‘jenayah antarabangsa’ di mana pesalah boleh didakwa dan dihukum oleh mana-mana negara, tanpa mengira samada wujudnya pertalian kewarganegaraan atau kewilayahan pesalah tersebut ataupun mangsanya. Ini disebabkan wujud kepentingan universal untuk membendung jenayah sebegini, dalam undang-undang antarabangsa. Dalam undang-undang antarabangsa, wujud jenayah yang dikira amat merosakkan keamanan antarabangsa dan bercanggah dengan kepentingan komuniti antarabangsa secara keseluruhannya sehingga ia dilayan sebagai delicta jure gentium, iaitu jenayah antarabangsa (international crimes). Jenayah antarabangsa adalah pelanggaran peraturan adat antarabangsa yang melindungi nilai-nilai yang dianggap penting kepada seluruh komuniti antarabangsa dan mengikat semua negara dan individu.
Tujuan prinisp universal ini adalah untuk memastikan tiada jenayah begini yang tidak dihukum. Menurut versi prinsip universal yang lebih tersebar luas, hanya negara di mana pesalah itu ditahan boleh mendakwa pesalah. Oleh itu, kehadiran tertuduh dalam wilaah adalah satu syarat untuk wujudnya bidangkuasa.
Jenayah-jenayah yang tertakluk kepada prinsip universal adalah amat terhad bilangannya. Contoh yang paling jelas dan paling kurang kontroversial adalah perlanunan dan perhambaan. Berkaitan dengan jenayah perang, atau jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, ini boleh dirujuk kepada Fourth Geneva Conventions 1949 [SINI] di mana menjadi tanggungjawab negara ahli untuk mencari dan menghukum mereka yang bersalah, tanpa mengira kewarganegaraan mereka.
Dalam kes Attorney-General of the Government of Israel v Eichmann, Eichmann merupakan Ketua Pejabat Jew di German Gestapo. Eichmann adalah pengurus yang bertanggungjawab ke atas polisi yang membawa kepada pembunuhan lebih kurang 4, 600,000 orang Jew di Eropah. Eichmann telah dijumpai di Argentina pada 1960an oleh agen Israeli dan ditawan ke Israel. Di Israel, Eichmann didakwa di bawa Undang-Undang Israel berkaitan jenayah perang, perang terhadap bangsa Jew yang mengambil contoh Genocide Convention 1948 dan jenayah kemanusiaan. Eichmann telah didapati bersalah dan dihukum mati. Mahkamah memutuskan bahawa: Jenayah yang amat dibenci ini bukanlah jenayah di bawah undang-undang Israel sahaja. Jenayah ini adalah kesalahan berat terhadap undang-undang bangsa … bidangkuasa untuk mendakwa jenayah dalam undang-undang antarabangsa adalah universal. Walaupun wujud bantahan negara lain ke atas cara Eichmann dibawa ke Israel, iaitu secara penculikan, tiada sebarang protes dibuat ke atas Israel yang menegaskan bidangkuasa universal jenayah perang dan perang kemanusiaan yang dilakukan oleh Eichmann.
Jenayah penyiksaan juga dianggap satu jenayah antarabangsa seperti yang boleh dilihat di dalam Convention against Torture and other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment, 1984 [SINI]. Dalam kes Pinochet, Lord Millett menyatakan bahawa penggunaan penyiksaan yang sistematik dalam skala besar dan sebagai instrumen polisi negara adalah berkait dengan perlanunan, jenayah perang, perang terhadap keamanan, sebagai satu jenayah antarabangsa dengan bidangkuasa universal, lama sebelum tahun 1984.
Oleh itu, wujud kes yang jelas yang menetapkan beberapa jenayah sebagai jenayah antarabangsa yang tertakluk kepada bidangkuasa universal, iaitu:
- pembunuhan beramai-ramai,
- jenayah perang,
- perang kemanusiaan,
- penyiksaan,
- perlanunan dan
- perniagaan hamba.
Kesalahan-kesalahan yang lain walaubagaimanapun, boleh tertakluk kepada bidangkuasa universal berdasarkan triti antarabangsa. Namun triti hanya akan mengikat negara-negara ahli kecuali sekiranya boleh ditunjukkan bahawa undang-undang adat antarabangsa juga telah menerima kesalahan ini sebagai tertakluk kepada bidangkuasa universal.
Jenayah-jenayah baru yang dibentuk oleh konvensyen telah dilanjutkan kepada aktiviti rampasan kapal terbang, sabotaj, perhambaan, jenayah terhadap orang yang dilindungi antarabangsa, pengganas, tebusan, penyeludupan dadah, counterfit matawang dan sebagainya. Agak sukar untuk mendakwa bahawa wujud asas perundangan bidangkuasa universal untuk jenayah-jenayah sebegini. Konvensyen telah membentuk tanggungjawab untuk mendakwa atau mengekstradisi yang tertuduh dan oleh itu memberikan bidangkuasa di bawah provisi triti berkaitan. Walaubagaimanpun agak payah untuk menerima triti sebegini yang mengikat hanya beberapa negara ahli, sebagai menghasilkan bidangkuasa universal ke atas negara yang bukan ahli.
5. Prinsip personaliti pasif
Prinsip personaliti pasif (passive personality principle) boleh dikatakan berlawanan dengan prinsip kewarganegaraan (yang juga dikenali dengan kewarganegaraan aktif atau personaliti aktif). Menurut prinsip personaliti pasif, sesebuah negara boleh mendakwa dan menghukum warga asing untuk jenayah yang dilakukan di luar negara yang memberi kesan keatas warganegara mereka. Maksudnya, sekiranya mangsa adalah warganegaranya, sesebuah negara boleh melaksanakan bidangkuasa keatas warga asing walaupun kesalahan tersebut dilakukan di luar negara. Mexico, Brazil dan Italy contohnya pernah menuntut bidangkuasa jenayah berdasarkan prinsip personaliti pasif ini.
Dalam kes Cutting (1906), mahkamah Mexico menggunakan bidangkuasa jenayah ke atas warga Amerika yang menerbitkan pernyataan fitnah ke atas rakyat Mexican di akhbar Texas, US. US walaubagaimanapun membantah.
Beberapa negara yang dahulunya membantah prinsip ini, kini semakin menerima penggunaannya. Contohnya, pada masa dulu, US dan UK telah secara konsisten membantah penggunaan prinsip ini. Menurut pakar undang-undang antarabangsa Brownlie, prinsip personaliti pasif ini adalah prinsip yang paling lemah justifikasinya. Adalah benar bahawa apabila rakyat sesebuah negara telah dijadikan mangsa jenayah yang dilakukan di negara lain, ini tidak semestinya mengganggu kepentingan negara. Namun, sekiranya sesebuah negara di mana jenayah telah berlaku tidak mahu atau tidak mampu mendakwa pesalah, ia boleh dihujahkan bahawa sesebuah negara berhak untuk melindungi rakyatnya sendiri apabila suspek asing berada dalam kekuasaannya. US kini dilihat menerima prinsip personaliti pasif dalam isu aktiviti pengganas dan jenayah serius yang lain.
Prinsip personaliti pasif ini boleh menyebabkan banyak masalah praktikal. Contohnya, jika perbuatan yang dilakukan itu dianggap salah di negara mangsa, tetapi kelakuan yang sama tidak menjadi kesalahan di negara pesalah atau di negara mana ia dilakukan. Oleh kerana beberapa bantahaan boleh dibangkitkan terhadap prinsip ini sebagai alasan bidangkuasa, wujud keraguan samada ianya adalah sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa.
Konflik Bidangkuasa
Bidangkuasa sesebuah negara boleh serentak dengan bidangkuasa negara lain ataupun boleh jadi ekslusif. Dua atau lebih negara berhak untuk melaksanakan bidangkuasnya ke atas orang yang sama berkenaan peristiwa yang sama. Ini dikenali sebagai bidangkuasa serentak (concurrent jurisdiction) dan ini boleh menimbulkan pertelingkahan bidangkuasa antara negara.
Apabila lebih dari satu negara mempunyai bidangkuasa berdasarkan undang-undang antarabangsa, setiap negara terbabit bebas untuk melaksanakan bidangkuasa preskriptif bila-bila ia mahu. Walaubagaimanapun, bidangkuasa pelaksanaan semata-mata bergantung kepada penahanan (custody) mereka yang terlibat. Biasanya, negara yang sebenarnya menahan tertuduh akan bertindak ke atas perkara tersebut. Malah, sesebuah negara yang mempunyai bidangkuasa kewilayahan, yang menjadi asas paling utama wujudnya bidangkuasa, juga tidak mempunyai tuntutan awal ke atas negara yang mempunyai pelaku dalam kawalannya, walaupun negara tersebut hanya berdasarkan luar-wilayah (extra-territorial) sebagai asas bidangkuasanya.
Sekiranya bidangkuasa serentak terjadi, ini tidak bermaksud individu boleh dihukum beberapa kali. Ini melibatkan isu (double jeopardy). Artikel 13 Harvard Research Draft Convention menyatakan bahawa tiada negara di bawah Konvensyen ini yang boleh mendakwa warga asing setelah ianya dibuktikan bahawa orang asing tersebut telah didakwa di mahkamah lain untuk jenayah yang memerlukan bukti yang terutamanya agak sama dan telah dibebaskan, atau telah dijatuhkan hukum dan menjalani hukuman atau telah dijatuhi hukum tetapi telah dimaafkan. Walaubagaimanpun, Artikel 13 ini hanya membicarakan mengenai orang asing dan ia tidak melindungi rakyat sendiri.
Amalan mahkamah domestik: male captus, bene detentus
Bagaimana pula keadaan di mana individu telah dilarikan secara paksa daripada wilayah sesebuah negara untuk didakwa di negara yang lain. Adakah penculikan/pemelarian (abduction) orang yang tertuduh tersebut menjadi penghalang kepada mahkamah untuk melaksanakan bidangkuasanya?
Tindakan berbeza telah diambil oleh mahkamah-mahkamah untuk persoalan di atas. Beberapa mahkamah telah enggan untuk mengenakan bidang kuasa mereka ke atas pesalah yang dibawa kepada mereka dengan cara penculikan/pemelarian. Beberapa mahkamah lain pula telah menekankan bahawa bagaimana seseorang dibawa ke muka pengadilan adalah bukan masalah mahkamah tersebut, iaitu, ditangkap secara salah, tetapi ditahan secara betul) (improperly captured, properly detained) kata Latinnya: male captus, bene detentus boleh diterima. Mahkamah begini hanya prihatin tentang kehadiran dan kepentingan untuk menggunakan bidangkuasa mereka.
Mahkamah Amerika
Mahkamah Agung US telah menyokong prinsip male captus, bene detentus dan telah, dalam beberapa siri kes tidak mahu mengetepikan bidangkuasa mereka atas sebab defendan telah diculik sebelum di bawa ke mahkamah. Dalam kes US v Alvarez-Machain, Dr. AlvarezMachain, warganegara Mexico telah dituduh oleh US tentang penyertaan mereka dalam pembunuhan agen Pelaksanaan Pengurusan Dadah US (DEA). Atas permohonan DEA, Alvarez Machain telah dibawa secara paksa dari pejabatnya di Mexico dan dibawa menggunakan kapalterbang persendirian ke Texas, US. Alvarez Machain mempertikaikan bahawa mahkamah US tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendakwa beliau kerana cara yang digunakan untuk menahan beliau adalah salah dari segi undang-undang. Mahkamah Agung memutuskan bahawa walaupun pemelarian tersebut adalah satu pelanggaran dalam undang-undang antarabangsa kerana ianya melanggar integriti wilayah Mexico, mahkamah US masih boleh melaksanakan bidangkuasanya. Mahkamah memerintahkan Alvarez untuk dibawa ke perbicaraan. Walaubagaimanapun, beliau dibebaskan dan dibenarkan untuk pulang ke Mexico kerana kekurangan bukti. Penghakiman dalam kes Alvarez Machain ini telah mengecewakan beberapa peguam antarabangsa dan aktivis hak asasi manusia dan membuatkan seakan-akan Mahkamah Agung US melebihkan pelaksanaan pelanjutan luar wilayah (extraterritorial) oleh kerajaan US tanpa menghiraukan prinsip undang-undang antarabangsa yang jelas bertapak.
Mahkamah Israel
Dalam kes Eichmann, Eichmann telah ditemui di Argentina pada 1960an dan dilarikan oleh Israel tanpa pengetahuan kerajaan Argentina. Eichmann kemudiannya didakwa atas kesalahan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan. Eichmaan didapati bersalah dan dihukum mati. Rayuannya ke Mahkamah Agung Israel juga tidak dibenarkan. Salah satu alasan peguambela Eichmann adalah bahawa perbicaraan Eichmann di Israel berikutan penculikan beliau di tanah asing adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan oleh sebab itu ia perlu dikira sebagai melenyapkan bidang kuasa mahkamah Israel. Tambahan lagi, selepas Eichmann diculik, Argentina telah membuat aduan kepada Majlis Keselamatan. Majlis Keselamatan telah memutuskan bahawa perbuatan Israel telah melanggar kedaulatan Argentina dan meminta kerajaan Israel untuk membuat gantirugi berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Mahkamah Afrika Selatan, New Zealand dan UK
Negara-negara ini seakan tidak bersetuju dengan peraturan male captus dan akan menolak bidangkuasa sekiranya tertuduh dilarikan dari negara asing. Contohnya dalam kes State v Ebrahim, perayu, seorang warga Afrika Selatan telah dituduh sebagai pengkhianat. Dia telah dilarikan dari Swaziland dan dibawa ke Afrika Selatan berkemungkinan oleh agen kerajaan Afrika Selatan. Ebrahim merayu ke atas sabitan yang dikenakan terhadapnya atas alasan mahkamah Afrika Selatan tidak mempunyai bidangkuasa kerana kehadirannya di mahkamah adalah disebabkan perlakuan yang melanggar undang-undang antarabanga. Rayuan dibenarkan dan sabitan bersalah yang dikenakan terhadapnya oleh mahkamah terdahulu juga telah ditolak oleh Mahkamah Agung. Mahkamah Agung menyatakan bahawa “seseorang individu perlu dipelihara daripada penahanan dan pemelarian yang tidak sah dari segi undang-undang, kedaulatan negara perlu dihormati, proses perundangan perlu adil kepada mereka yang terlibat dan penyalahgunaan undang-undang perlu dihindari untuk menjaga dan menggalakkan integriti pengurusan keadilan. Ini juga terpakai kepada negara, apabila negara merupakan pihak yang bertelingkah, sama seperti kes jenayah yang lain, ia mesti dibawa ke mahkamah dengan cara yang betul (clean hands). Apabila sesebuah negara itu sendiri yang terlibat dalam pemelarian merentangi sempadan antarabangsa, seperti yang terjadi dalam kes ini, ini menunjukkan negara menggunakan taktik kotor.
Dalam R v Hartley [1978], disebabkan panggilan telefon dari polis New Zealand, polis Australia telah menawan pesalah secara paksa di Australia dan menerbangkan pesalah ke New Zealand untuk menghadapi dakwaan membunuh di New Zealand. Mahkamah New Zealand memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidangkuasa kerana tertuduh telah dibawa ke New Zealand secara pemelarian (abduction) yang salah dari segi undang-undang.
Dalam R v Horseferry Road Magistrates’ Court, ex p Bennett [1993], Bennett, seorang warga New Zealand amat dikehendaki di United Kingdom atas tuduhan penyataan palsu untuk mendapatkan faedah (fraud). Pihak polis UK telah meminta pihak polis Afrika Selatan untuk menghanatar Bennet yang sedang berada di Afrika Selatan secara paksa ke UK. Mahkamah UK memutuskan bahawa, sekiranya Bennett boleh membuktikan tuduhan bahawa beliau telah dipaksa, ini bermakna wujud penyalahgunaan proses disebabkan cara beliau berada di mahkamah UK adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan peraturan undang-undang.
Analisis-analisis di atas jelas menunjukkan bahawa peraturan male captus, bene detentus diterima oleh beberapa mahkamah dan ditolak oleh beberapa mahakamah yang lain. Disebabkan amalan yang tidak konsisten ini, boleh dikatakan ianya tidak boleh dianggap sebagai satu undang-undang adat antarabangsa.
Dalam kes pemelarian, pencabulan undang-undang antarabangsa boleh membabitkan dua cara:
- Pertama, pencabulan kedaulatan wilayah negara lain. Sekiranya defendan telah dilarikan daripada wilayah asing, pencabulan kedaulatan wilayah telah berlaku. Sebarang pelaksanaan undang-undang atau kuasa polis oleh sesebuah negara, tanpa kebenaran di wilayah negara lain adalah pencabulan wilayah negara tersebut.
- Kedua, pencabulan hak asasi orang yang dilarikan. Ini adalah berasaskan cadangan bahawa pemelarian secara paksaan yang dibuat oleh negara adalah satu pencabulan hak asasi undang-undang antarabangsa. Artikel 9 Universal Declaration of Human Rights menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap sesuka hati, ditahan atau dikurung. Lihat juga Artikel 3 berkenaan hak keselamatan dan Artikel 5 UDHR. Artikel 9(1)International Covenant of Civil and Political Rights, 1966 menyatakan bahawa semua orang mempunyai hak untuk kebebasan dan keselamatan diri. Tiada seorang pun yang boleh ditangkap atau ditahan sesuka-hati. Artikel 9(4) Konvensyen yang sama juga memberikan hak untuk mencabar penahanan yang melanggar undang-undang di mahkamah. Jawatankuasa Hak Asasi Manusia menetapkan dalam kes Lopez (1981) bahawa tindakan melarikan seorang pelarian Uruguay dari Argentina oleh pihak keselamatan Uruguay adalah satu pencabulan Artikel 9 ICCPR. Jawatankuasa memutuskan bahawa negara mempunyai tanggungjawab untuk memberikan gantirugi yang efektif, termasuk pembebasan serta kebenaran untuk meninggalkan negara.
Bagaimana negara boleh menghukum pesalah sekiranya pesalah berada di luar negara?
Caranya adalah negara perlu bergantung kepada kerjasama negara-negara lain untuk menyerahkan penjenayah atau pesalah yang telah lari ke luar negara. Bentuk bantuan kehakiman antarabangsa ini dipanggil ekstradisi. Oppenheim, menafsirkan ekstradisi sebagai ‘penghantaran pihak tertuduh atau individu yang didakwa kepada negara di mana dia dituduh atau didakwa oleh kesalahan jenayah, oleh negara di wilayah mana dia berada’. Cara ini lebih baik daripada menggunakan cara perbicaraan tanpa kehadiran (trial in absentia), iaitu satu prosedur di mana perbicaraan dibuat tanpa kehadiran pesalah yang semestinya menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.
Keperluan untuk ekstradisi: Ekstradisi adalah satu langkah positif ke arah membanteras jenayah. Ia bertindak sebagai amaran kepada penjenayah bahawa mereka tidak boleh terlepas daripada hukuman dengan cara melarikan diri ke negara lain. Ekstradisi memainkan peranan penting dalam hubungan antara negara pada masa kini disebabkan peningkatan jenayah transnasional dan aktiviti pengganas rentas-sempadan.
Tiada tanggungjawab untuk mengekstradisi sekiranya tiada triti: undang-undang adat antarabangsa tidak mewajibkan sesebuah negara untuk menyerahkan tertuduh kepada negara lain. Oleh itu, peraturan umumnya adalah tiada tanggungjawab untuk mengekstradisi tanpa adanya triti yang berkaitan. Lihat kes Factor v Labubenheimer (1933)
Triti Ekstradisi: Triti ekstradisi biasanya bersifat bilateral. Banyak triti ekstradisi yang telah dibuat telah menetapkan kes yang bagaimana ekstradisi akan dibuat. Wujud juga perkembangan di dalam beberapa konvensyen multilateral yang mewajibkan pihak-pihak yang terlibat untuk memilih sama ada untuk mendakwa atau mengekstradisi (the obligation to extradite or prosecute) Latinnya, aut dedere aut judicare. Contoh-contohnya termasuk Genocide Convention, 1948, Geneva Conventions on Humanitarian Law, 1949 dan Montreal Hijacking Conventions.
General Assembly telah membentuk satu Model Treaty on Extradition pada tahun 1990 untuk membantu negara-negara yang berminat untuk berbincang dan mengadakan perjanjian ekstradisi bilateral.
Undang-undang ekstradisi nasional – banyak negara telah membentuk undang-undang istimewa yang menyebut satu persatu jenayah di mana ekstradisi perlu diminta dan dibenarkan, serta melaraskan prosedur dalam kes-kes ekstradisi. Contohnya, UK Extradition Act 1989, Indian Extradition Act 1962 dan Malaysian Extradition Act 1992. Undang-undang ini biasanya digunakan sebagai asas untuk mengadakan triti ekstradisi.
Prinsip-prinsip umum undang-undang ekstradisi
Terdapat beberapa prinsip umum undang-undang ekstradisi yang telah lama terbentuk:
- Jenayah yang boleh diekstradisi (extraditable offence) – Keperluan pertama untuk ekstradisi yang berjaya adalh bahawa kesalahan yang dilakukan itu perlulah satu jenis kesalahan yang boleh dikenakan ekstradisi. Ekstradisi adalah satu prosedur yang sesuai hanya kepada jenayah berat. Kebanyakan undang-undang ekstradisi negara biasanya menghadkan bilangan jenayah yang dibolehkan ekstradisi kepada jenayah yang khusus atau jenayah yang tertakluk kepada takat hukuman yang tertentu.
- Prinsip jenayah berganda (principle of double criminality) – kebanyakan negara mengikuti prinsip bahawa perlakuan yang didakwa perlulah satu jenayah di bawah undang-undang negara yang memohon dan memberikan ekstradisi.
- Prinsip keistimewaan (principle of speciality) – menurut prinsip ini, negara yang memohon ekstradisi mempunyai tanggungjawab untuk tidak menghukum pesalah atas kesalahan selain daripada kesalahan yang menyebabkan dia diekstradisi.
- Prinsip tiada-ekstradisi pesalah politik (principle of non-extradition of political offenders) – prinsip ini diterima secara meluas bahawa pesalah politik tidak boleh diekstradisi. Undang-undang di kebanyakan negara mempunyai provisi yang, walaupun berbeza dari beberapa segi, mempunyai kesan yang sama dalam mengiktiraf bahawa sesiapa yang dituduh melakukan kesalahan politik tidak boleh diekstradisi. Walaubagaimanapun, adalah sukar untuk menetapkan apakah yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan politik’. Tambahan lagi, keganasan zaman moden telah menyebabkan definisi kesalahan politik semakin kabur kerana aktiviti pengganas seringkali dimotivasikan oleh politik. Disebabkan ini, banyak negara telah membuat pengecualian kepada prinsip ini.
- Ekstradisi warga sendiri (extradition of nationals) – secara prinsipnya, mana-mana individu, wamada dia seorang wara negara yang memohon ekstradisi atau negara yang dipohon ekstradisi, ataupun negara ketiga, boleh diekstradisi. Banyak negara, walaubagaimanapun tidak mengekstradisi warga mereka sendiri kepada negara asing. Walaubagaimanapun ini bukan bermakna pesalah tersebut tidak dihukum. Dalam situasi begini, negara yang dipohon ekstradisi perlu memulakan pendakwaan jenayah ke atas pesalah tersebut menurut undang-undang negara itu sendiri.
- Prosedur ekstradisi (the procedure for extradition) – Prosedur biasa termasuk perlu ada permohonan ekstradisi yang dihantar melalui saluran diplomatk, yang menakmakan penjenayah yang melarikan diri, menyatakan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan dan membariskan fakta-fakta kesalahan. Banyak negara memberikan peluang kepada orang yang dikehendaki untuk membantah tuntutan ekstradisinya di mahkamah. Ini dinamakan sebagai prosiding ekstradisi (extradition proceeding). Kes Pinochet [2000] R v. Bow Street Metropolitan Stipendiary Magistrate, ex p Pinochet Ugarte adalah prosiding yang paling dikenali.
- Selepas prosiding berakhir, ekstradisi dibuat secara menghantar penjenayah ke negara yang memohon oleh pihak polis negara yang dipohon.