Kekebalan Ketua Negara dan Wakil Diplomatik

Kekebalan Diplomatik

Prinsip kekebalan diplomatik berasal daripada amalan terdahulu di mana wakil kerajaan negara asing dibenarkan bekerja dan beroperasi di bawah undang-undang negara asal mereka sendiri walaupun mereka berada di luar negara. Ini boleh diertikan sebagai kekebalan sivil dan jenayah yang mutlak atau terhad, yang dinikmati oleh petugas misi diplomatik asing beserta keluarga mereka.  Wakil-wakil asing ini, yang ditugaskan untuk mengadakan dialog di antara negara sewajarnya dilindungi agar mereka boleh menjalankan fungsi mereka dengan baik dan efisien.

File:Diplomatic-drivers-license.PNG

Contoh lesen memandu agen diplomat yang telah tamat tempoh

Peraturan kekebalan diplomatik biasanya berdasarkan undang-undang adat antarabangsa.  Kini, keistimewaan dan kekebalan jelas dinyatakan dalam dua perjanjian multilateral asas, iaitu

VCDR banyak mencerminkan undang-undang adat antarabangsa berkaitan diplomat dan kini diikuti oleh hampir seluruh negara di dunia. Lihat senarai negara-negara yang menjadi perjanjian VCDR ini di SINI

Mewujudkan Misi Diplomatik

Hubungan diplomatik bukanlah satu hak di bawah undang-undang antarabangsa dan ianya diwujudkan hanya melalui persetujuan kedua-dua buah negara yang terbabit (negara penerima dan penghantar diplomat). Hubungan diplomatik boleh diputuskan secara unilateral sebagai satu tanda bantahan sesuatu perlakuan yang tidak menyenangkan atau tidak mematuhi undang-undang yang dilakukan oleh sesbuah neara.  Sesebuah negara juga boleh mengusir mana-mana ahli misi diplomatik sekiranya ia mahu.

Misi diplomatik biasanya terdiri daripada Ketua Misi (Ambassador) dan barisan yang dipersetujui oleh negara penerima. Ia juga mempunya beberapa ahli anggota. Lihat Artikel 14(1) VCDR untuk klasifikasi Ketua Misi.  Anggota misi diplomatik pula terdiri daripada beberapa jenis seperti yang disebut dalam Artikel 1 VCCR.

Fungsi misi diplomatik termasuk (Artikel 3 VCDR) :

  • Mewakili negara penghantar di dalam negara penerima;
  • Melindungi kepentingan dan warga negara penghantar di negara penerima; berbincang dengan kerajaan negara penerima;
  • Menentukan kondisi dan pembangunan dalam negara penerima dan melaporkan kepada negara penghantar;
  • Mempromosikan hubungan baik serta pembangunan ekonomi, budaya dan saintifik di antara negara penerima dan penghantar

Semua ahli misi termasuk ketua dan anggota diplomatik perlu menghormati dan menuruti undang-undang dan peraturan negara penerima kerana kekebalan bukanlah bermakna ia menjadi lesen untuk melanggar undang-undang negara tersebut.

Negara penerima boleh pada bila-bila masa dan tanpa perlu menerangkan keputusannya, memaklumkan negara penghantar bahawa ketua  misi atau mana-mana anggota diplomat adalah persona non grata yakni tidak diterima di dalam negara tersebut.  Jika ini berlaku, negara penghantar perlu memanggil balik individu tersebut dan menarik balik fungsinya sebagai anggota misi.  Sekiranya negara penghantar enggan atau gagal menunaikan kewajipan ini dalam masa yang munasabah, negara penerima boleh untuk tidak mengiktiraf individu terbabit sebagai anggota misi.     

Ketakbolehcabulan (inviolability)

VCDR menganggap bahawa misi diplomatik dan individu diplomatik sebagai tidak boleh dicabul. Ketakbolehcabulan boleh didefinisikan sebagai selamat dari dicemar, diserang atau diganggu.  Terdapat dua jenis ketakcabulan, iaitu:

  •  Ketakcabulan premis/ tempat misi tersebut;
  •  Ketakcabulan peribadi

a) Ketakcabulan premis/ tempat misi

Premis misi tidak boleh dicabul.  Agen-agen negara penerima tidak boleh memasukinya, kecuali dengan persetujuan ketua misi.  Negara penerima juga mempunyai tanggungjawab untuk mengambil segara langkah yang sesuai untuk melindungi premis misi daripada diganggu atau dimusnahkan dan menghalang daripada sebarang ganggungan kepada keamanan misi atau mengurangkan maruahnya. Harta benda misi dan kenderaan misi juga kebal daripada sebarang pemeriksaan, tuntutan atau pelaksanaan hukuman (Artikel 22 VCDR).

Image result for malaysian embassy

Kedutaan Malaysia di Prague mempunya kekebalan diplomatik

Persoalannya, bolehkan negara penerima memasuki premis Kedutaan tanpa sebarang persetujuan dalam kes tertentu, contohnya berlaku kebakaran, banjir atau alasan yang memerlukan ia masuk secara terpaksa? Jawapannya ya.  Perlu diingat bahawa premis misi diplomatik masih berada di negara penerima.  Maka, apa yang berlaku  di dalam Kedutaan juga dikira berlaku di negara penerima, dan negara penerima bertanggungjawab untuk mengambil langkah melindungi misi tersebut.

Negara penerima perlu memastikan negara penghantar bebas bertukar informasi rasmi dengan Kedutaannya dengan apa cara sekalipun.  Bag diplomatik juga tidak boleh dibuka atau ditahan.  Sebagai balasan kepada perlindungan ini, bungkusan yang dihantar dan diterima oleh misi perlu menyatakan bahawa ianya hanya mengandungi kandungan diplomatik (Artikel 27 VCDR).

File:Swedish-diplomatic-pouch.jpg

Contoh kantungan diplomatik negara Sweden

Arkib dan dokumen misi diplomatik juga tidak boleh dicabul pada masa mana sekalipun dan dimana sahaja (Artikel 24 VCDR).   Tempat tinggal persendirian agen diplomatik juga menikmati perlindungan yang sama seperti premis misi diplomatik (Artikel 30 VCDR). Walaubagaimanapun, premis-premis ini tidak boleh digunakan sebagai tempat risikan, yang biasa digunakan dalam Perang Dingin dan kemungkinan pada hari ini juga. Adalah tidak wajar sesebuah negara menyeludup perisik ke dalam negara lain dengan menyamar sebagai anggota diplomat.

VCDR tidak menyebut apa-apa berkenaan suaka politik.  Bolehkah sekiranya seorang rakyat A cuba mendapatkan perlindungan negara B dengan cara memasuki Kedutaan negara B di dalam negara A? Menurut perspektif undang-undang, ini tidak dibenarkan kerana ia dianggap sebagai melanggar kedaulatan negara penerima.  Rakyat tersebut perlu dihantar semula kepada pihak berkuasa negara penerima.  Walaubagaimanapun, perbincangan di antara kedua negara penerima dan penghantar boleh menyelesaikan masalah sebegini.

Ketakcabulan agen diplomatik

Berdasarkan sumber undang-undang adat antarabangsa, agen diplomatik tidak boleh dicabul, dan dia juga tidak boleh ditahan atau ditangkap. Negara penerima perlu melayan agen diplomatik dengan hormat dan mengambil langkah sesuai untuk menghalang sebarang serangan ke atas peribadi, kebebasan dan maruah agen diplomatik (Artikel 29 VCDR).

Dalam kes United States Diplomatic and Consular Staff in Tehran Case (US v Iran) beberapa pelajar Iran bersama beberapa orang lagi telah berdemonstrasi dan mengambilalih Kedutaan US di TEhran secara paksa. Pihak berkuasa Iran gagal melindungi Kedutaan US tersebut dan kemudiannya seakan menyokong tindakan pelajar tersebut.  Seramai 50 anggota misi telah ditahan selama 444 hari.  Pihak US telah membawa kes tersebut kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang membenarkan tuntutan US serta memutuskan bahawa Iran telah melanggar beberapa perjanjian, termasuk VCDR khasnya Artikel 22, 27 dan 29 VCDR.  Mahkamah memerintahkan agar tebusan dilepaskan, Kedutaan dikosongkan dan mereka yang bertanggungjawab dihukum dan gantirugi dibayar.

Kekebalan daripada Bidangkuasa

Semua agen diplomatik menikmati kekebalan daripada sebarang bidangkuasa mahkamah negara penerima. Mereka menikmati kekebalan daripada bidangkuasa jenayah, sivil dan juga bidangkuasa pentadbiran.

a) Kekebalan daripada bidangkuasa jenayah.

Agen diplomatik mempunyai kekebalan yang mutlak daripada bidangkuasa jenayah negara penerima (Artikel 31 VCDR).  Ini bermakna, diplomat tidak boleh ditahan, ditangkap, dikenakan pemeriksaan di badan, diminta memberikan bukti, didakwa ataupun dihukum oleh mahkamah jenayah negara penerima.  Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa agen diplomatik tersebut berhak membuat sesuka hatinya.  Agen diplomatik masih bertanggungjawab untuk menghormati undang-undang dan peraturan negara penerima dan juga mempunyai tanggunjawab untuk tidak masuk campur dalam hubungan dalaman negara penerima (Artikel 41 VCDR). Kekebalan bukanlah satu lesen untuk melakukan jenayah. Lihat berita di mana penyalahgunaan kekebalan diplomatik kadangkala berlaku di SINISelain itu, kekebalan agen diplomatik ini juga tidak mengecualikannya daripada bidangkuasa negara yang menghantarnya (Artikel 31(4) VCDR).

Dalam kes Arrest Warrant (Democratic Republic of Congo vs Belgium [2000]), Belgium telah mengeluarkan secara meluas kepada Interpol dan semua negara, waran tangkap terhadap Mr. Yerodia, Menteri Luar Negara Congo, berdasarkan bidangkuasa universal. Yerodia dituduh menghasut orang ramai untuk menyerang golongan Tutsi di Rwanda sehingga menyebabkan pembunuhan dan jenayah kemanusiaan yang melanggar Geneva Conventions of 1949 and its Additional Protocols.  Congo meminta ICJ untuk memutuskan bahawa Belgium melanggar undang-undang antarabangsa kerana ia tidak menghormati prinsip ketakcabulan dan kekebalan menteri luar Congo daripada proses mahkamah Belgium. Setelah waran dikeluarkan, Yerodia kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pendidikan Congo.

 

Mangsa kekejaman Rwanda yang terpaksa melarikan diri

Dalam kes ini,  beberapa perkara penting mengenai prinsip kekebalan dijelaskanoleh mahkamah ICJ:

  • Mahkamah menegaskan kewujudan prinsip kekebalan yang dinikmati oleh Ketua Negara dan Kerajaan, Menteri Luar dan Agen Diplomatik yang bebas daripada bidangkuasa jenayah dan sivil negara lain.
  • Kekebalan ini bukanlah untuk kepentingan peribadi tetapi untuk memastikan fungsi mereka sebagai wakil negara boleh dilaksanakan dengan sebaiknya. Seorang Menteri Luar yang dilantik akan menikmati kekebalan yang mutlak daripada bidangkuasa jenayah dan ketakcabulan apabila dia berada di luar negara.
  • Ketika lantikannya sebagai Menteri Luar, Yerodia menikmati kekebalan daripada perlakuan yang dilakukan atas kapasiti rasmi dan kapasiti peribadi. Prinsip kekebalan terpakai tidak kira samada Menteri tersebut berada di luar negara atas tugas rasmi atau bukan tugas rasmi. Kekebalan juga diperluaskan kepada perlakuan yang dibuat ketika lantikannya, dan juga sebelum dia dilantik sebagai Menteri Luar. Ini kerana sekiranya seorang Menteri Luar ditahan di negara luar atas tuduhan jenayah, Menteri tersebut jelas dihalang daripada melaksanakan fungsinya bagi pihak negara.  Ini akan memberi kesan yang buruk kerana ia akan menghalang Menteri Luar tersebut dari keluar negara demi melindungi dirinya dari ditangkap dan seterusnya menyebabkan dia tidak dapat melaksanakan fungsi rasminya sebagai Menteri.
  • Mahkamah juga menolak hujah Belgium bahawa ini merupakan jenayah kemanusiaan yang serius dan menyatakan kekebalan adalah mutlak dan tiada pengecualian wujud dalam undang-undang adat antarabangsa.
  • Walaubagaimanapun, kekebalan bukan bermaksud bebas dari hukuman (impunity). Individu tersebut masih bertanggungjawab atas jenayah yang telah dilakukannya. Mahkamah menetapkan 4 situasi di mana penjawat kini atau bekas Menteri Luar boleh dihukum:
  1. pendakwaan dalam negaranya sendiri menurut undang-undang domestik (prinsip kekebalan undang-undang antarabangsa tidak diiktiraf kepada mahkamah negara individu itu sendiri)
  2. sekiranya negara mengetepikan kekebalan diplomat tersebut, maka mahkamah asing boleh membuat pendakwaan.
  3. Sebaik sahaja dia berhenti menjadi Menteri Luar, dia tidak lagi menikmati kekebalan terhadap mahkamah luar negara atas perlakuannya yang dibuat ketika perlantikannya sebagai Menteri Luar, dan atas segala perbuatannya yang dilakukan sebelum atau selepas lantikannya; dan
  4. pendakwaan di hadapan badan jenayah antarabangsa, yang mempunyai bidangkuasa tertentu, seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Mahkamah ICJ akhirnya menyimpulkan bahawa waran tangkap yang dikeluarkan oleh Belgium melanggar kewajipan antarabangsa.  Belgium gagal untuk menghormati, dan dikira mencabul kekebalan Yerodia yang dinikmati olehnya di bawah undang-undang antarabangsa. Dengan ini Belgium diarah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkannya dan memaklumkan pembatalan tersebut kepada pihak-pihak yang terlibat.

Begitu juga dalam kes Ghadaffi, Ketua Negara Libya ini diputuskan sebagai kebal daripada bidangkuasa berkaitan dengan tuduhan keganasan yang menyebabkan kemusnahan kapalterbang awam pada tahun 1999.

Walaubagaimanapun, Ketua Negara dan pegawai negara tidak boleh menggunakan kedudukan rasminya sebagai alasan sekiranya pendakwaan dibuat di tribunal antarabangsa berkaitan jenayah antarabangsa seperti jenayah perang, jenayah kemanusiaan atau pembunuhan beramai-ramai.  Rayuan kekebalan tidak dibenarkan oleh Charter of International Criminal Tribunal, dan ianya tidak dibenarkan oleh Statute of International Criminal Tribunal for Yugoslavia and Rwanda (ICTY and ICTR).  Artikel IV Genocide Convention menyatakan bahawa individu yang melakukan pembunuhan beramai-ramai akan dihukum samada mereka merupakan pemerintah yang dipilih oleh perlembagaan, pegawai awam mahupun individu persendirian.  Ini juga telah disebut oleh Artikel 27 Rome Statute of the International Criminal Court 1998.

b) Kekebalan daripada bidangkuasa asing dalam kes sivil.

Dalam kes Dickinson v Del Solar [1930],  sebuah syarikat insuran enggan untuk membayar pampasan kepada kecuaian kemalangan yang disebabkan oleh Del Solar atas alasan bahawa dia seorang diplomat Peru yang kebal daripada undang-undang.  Mahkamah memutuskan bahawa kekebalan diplomatik tidak bermakna kebal daripada sebarang kebersalahan tetapi bermaksud kebal daripada tindakan bidangkuasa tempatan sahaja.  Seorang diplomat tidak boleh dikenakan saman dalam negara penerima kecuali sekiranya dia menyerah diri kepada bidangkuasa tersebut.  Dalam kes ini, kekebalan telah diketepikan (waive) oleh diplomat Del Solar juga tidak boleh dipakai kerana hanya negara penghantar yang boleh membuat pengetepian.

Agen diplomatik juga kebal daripada bidangkuasa sivil dan pentadbiran negara penerima. Walaubagaimanapun, kekebalan ini tidak bersifat mutlak dan tertakluk kepada tiga pengecualian (Artikel 31(1) VCDR):

  • a) perlakuan sebenar berkaitan harta tidak bolehubah persendirian yang berada di negara penerima, kecuali dia memegangnya bagi pihak negara penghantar bagi tujuan misi diplomatik.
  • b) perlakuan berkaitan warisan di mana agen diplomatik terlibat sebagai wasi, pentadbir, waris atau penerima pusaka sebagai orang persendirian dan bukan bagi pihak negara penghantar
  • c) perlakuan berkaitan sebarang aktiviti professional dan komersil yang dilaksanakan oleh agen diplomatik di dalam negara penerima di luar fungsi rasmi.

Dalam kes Village Holdings Sdn Bhd v Her Majesty the Queen in Right of Canada [1988], mahkamah memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidangkuasa ke atas kedaulatan asing (foreign sovereign). Saman yang dihantar hanya boleh dianggap diterima sekiranya  ketua atau kerajaan yang berdaulat itu sendiri bersetuju untuk berserah kepada bidangkuasa mahkamah.

Close Menu