Kekebalan Organisasi
Selain kekebalan negara dan kekebalan diplomatik, wujud juga kekebalan organisasi. Ini kerana organisasi antarabangsa juga diberi kuasa oleh negara untuk melaksanakan beberapa fungsi yang tersendiri. Oleh itu, organisasi antarabangsa juga perlu keistimewaan dan kekebalan agar ia dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih efisien. Walaubagaimanapun, kekebalan organisasi antarabangsa tidak sama dengan kekebalan diplomat. Ini kerana diplomat masih tertakluk kepada bidangkuasa negaranya sendiri manakala organisasi antarabangsa tidak tertakluk kepada mana-mana bidangkuasa negara. Secara amalannya, kekebalan sesebuah organisasi antarabangsa dilaraskan di dalam perjanjian. Contohnya:
- General Convention on Privileges and Immunities of the United Nations 1946, dan
- Convention on the Privileges and Immunities of the Specialized Agencies 1947
Teks General Convention 1946 telah dideraf berdasarkan Artikel 104 dan 105 Piagam PBB (UN Charter) yang menganugerahkan organisasi PBB dengan beberapa kekebalan dan keistimewaan. Organisasi boleh menikmati kapasiti perundangan, keistimewaan dan kekebalan yang perlu untuk melaksanakan fungsinya dan untuk menunaikan tanggungjawabnya di mana-mana negara ahli (Artikel 104 dan 105 Piagam PBB). Wakil ahli PBB dan pegawai organisasi PBB juga menikmati keistimewaan dan kekebalan yang perlu untuk mereka melaksanakan fungsi mereka (Artikel 105(2) Piagam PBB).
Bangunan PBB di Geneva, Switzerland
Artikel 1, Seksyen 1 General Convention 1946 juga mengesahkan provisi Piagam PBB dengan menyatakan bahawa PBB mempunyai personaliti juridikal (juridical personality) dimana ia mempunyai kapasiti untuk:
- Melaksanakan kontrak
- Mendapatkan dan menjual harta bolehubah atau tidakbolehubah.
- Memulakan prosiding perundangan
Harta dan aset PBB dimana sahaja ia berada dan samada dipegang oleh sesiapa sahaja, akan menikati kekebalan daripada segala bentuk proses perundangan (Artikel II Seksyen 2 General Convention 1946). Premis PBB serta dokumen-dokumen di dalamnya tidak boleh dicabul dan harta serta asetnya, dimana sahaja ia berada dan samada dipegang oleh sesiapa pun kebal daripada pemeriksaan atau carian, rekuisis/pengambilan, penyitaan, perampasan, dan apa jua bentuk campurtangan samada oleh tindakan eksekutif, administratif atau perundangan (Artikel II Seksyen 3 dan 4 General Convention 1946).
PBB juga boleh memegang tabung simpanan samada dalam bentuk eemas atau matawang, mengoperasi akaaun dalam apa jenis matawang dan bebas untuk memindahkan peruntukan tersebut dari satu negara ke negara lain atau di antara negara dan untuk menukar matawang ke jenis matawang yang lain (Artikel II Seksyen 5 General Convention 1946). UN juga secara umumnya, dikecualikan daripada cukai langsung, duti kastam dan larangan atau limitasi import eksport yang berkaitan dengan harta yang digunakan untuk urusan rasmi (Artikel II Seksyen 6 General Convention 1946).
Setiausaha Agung dan semua pembantunya serta isteri dan anak-anak juga perlu diberikan keistimewaan dan kekebalan, pengecualian dan kemudahan sepertimana yang diberikan kepada diplomat selaras dengan undang-undang antarabangsa (Artikel V Seksyen 19 General Convention 1946).
Walaubagaimanapun, keistimewaan dan hak kekebalan ini diberi untuk kepentingan PBB dan bukannya untuk kepentingan peribadi individu tersebut (Artikel V Seksyen 20 General Convention 1946).
Setiausaha Agung berhak untuk mengetepikan hak kekbalan mana-mana pegawainya sekiranya beliau berpendapat hak kekebalan tersebut akan menghalang urusan undang-undang yang adil. Kekebalan Setiausa Agung pula boleh diketepikan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Pegawai-pegawai PBB yang lain pula hanya mempunyai kekebalan yang terhad (Artikel V Seksyen 18 General Convention 1946). Contohnya kekebalan daripada proses perundangan berkaitan perlakuan rasmi mereka.
Dalam kes Difference Relating to Immunity from Legal Process of a Special Rapporteur of the Commission of Human Rights [1998], seorang peguam Malaysia yang juga merupakan Pelapor Khas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkaitan kebebasan Hakim dan Peguam, Datuk Param Cumaraswamy telah menghadapi beberapa saman sivil yang difailkan di Mahkamah Malaysia oleh plaintif-plaintif berlainan yang menuntu kerugian berjumlah AS$112 juta kerana didakwa menggunakan bahasa menghina dalam satu temubual dengan majalah International Commercial Litigation pada tahun 1995.
Cumaraswamy menyatakan dalam temubualnya bahawa beliau menerima aduan bahawa syarikat-syarikat yang berkuasa telah mempengaruhi keputusan mahkamah di Malaysia. Walaubagaimanapun, Setiausaha Am PBB, Kofi Annan telah menyatakan bahawa Cumaraswamy telah bersuara dalam kapasitinya sebagai Pelapor Khas PBB dan oleh yang demikian kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Perkara ini di bawa ke hadapan Mahkamah ICJ yang berpendapat bahawa Pelapor Khas PBB telah diamanahkan dengan misi PBB dan perlu dianggap sebagai pakar misi menurut definisi Artikel VI, Seksyen 22 Convention on the Privileges and Immunities of the United Nations. Mahkamah berpendapat bahawa Malaysia telah mengiktiraf bahawa Cumaraswamy merupakan pakar misi dan ini memberikannya keistimewaan dan kekebalan termasuk daripada negara mereka sendiri. Setiausaha Am juga telah menyatakan bahawa Cumaraswamy telah bersuara dalam kapasiti rasminya sebagaimana yang telah dinyatakan beberapa kali dalam artikel tersebut. Mahkamah juga menyimpulkan bahawa perbuatan mahkamah Malaysia, yang juga dikira sebagai perbuatan negara Malaysia, telah melanggar kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.
Kes di atas amat penting untuk dijadikan rujukan untuk PBB menjalankan aktiviti-aktiviti hak asasi. Ini kerana usaha menangani pelanggaran hak asasi manusia akan mendedahkan pakar, pegawai, dan penyiasat jenayah hak asasi kepada segala macam tindakan. Untuk menjalankan tugas mereka dengan efektif, wakil organisasi antarabangsa ini perlu diberi keyakinan bahawa mereka tidak akan ditahan atau didakwa atas sesuatu kesalahan demi memenuhi tanggungjawab mereka.
Pasukan Pengaman PBB di Haiti
Walaubagaimanapun, di celah-celah persoalan kekebalan organisasi sebegini wujud juga isu kebertanggungjawaban organisasi seperti PBB yang seharusnya boleh dielakkan atau dipesong. Contohnya dalam isu meletusnya wabak taun di Haiti yang amat tragik. Wabak ini dijangkiti daripada pasukan tentera Nepal yang menjadi sebahagian daripada pasukan keamanan PBB yang berkhidmat di kepulauan tersebut ketika misi PBB di Haiti, MINUSTAH. Wabak tersebut menyebabkan kematian 8000 orang dan penyakit yang dialami oleh 600,000 orang pada tahun 2010. Tuntutan telah dibuat tetapi tidak diterima oleh PBB atas alasan politik dan impak polisi, menyebabkan tuntutan tersebut tidak didengar sama sekali oleh mekanisma resolusi penyelesaian pertikaian PBB. PBB juga enggan memberikan sebarang gantirugi dan berlindung dengan kekebalan yang ada. Ini terjadi walaupun Artikel VIII seksyen 29 Convention on the Privileges and Immunities of the UN, 1946 memberikan hak kepada UN untuk membuat penyelesaian yang sesuai bagi menyelesaikan pertikaian yang melibatkan pegawai mereka yang menikmati imuniti, sekiranya imuniti tidak diketepikan oleh Setiausaha Am.